Thursday, December 4, 2008

~Cinta Luar Biasa~

Edit Posted by with 10 comments
MASIH ramai yang tidak percaya bahawa Wook Kundur yang berusia
106 tahun dan Mohd Nor Musa, 37, tinggal sebumbung
di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang,
Hulu Terengganu, Terengganu sebagai suami dan isteri.

Barangkali ramai yang mengambil sedikit waktu untuk yakin
akan hakikat bahawa perkahwinan unik pasangan itu
sudah berlaku sejak tiga tahun yang lalu.

Jika dilihat pada tanggapan biasa, 'ketidakpercayaan'
orang ramai dalam hal ini ada asasnya. Ini kerana jurang
perbezaan usia mereka begitu jauh iaitu 69 tahun.

Bayangkan ketika Wook 'menyambut' hari lahir yang ke-69,
Mohd Nor baru celik melihat dunia dan kelahirannya disambut
dengan penuh kesyukuran oleh keluarganya.

Berdasarkan trend orang Melayu berkahwin awal ketika itu,
Wook layaknya memanggil Mohd Nor sebagai cicit iaitu
keturunan keempat dalam salasilah sesebuah keluarga.

Hal ini tentu sekali wajar kerana dalam kalangan
masyarakat Melayu sebelum dan ketika awal negara
mencapai kemerdekaan, usia 17 tahun sudah dianggap
matang bagi seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga.

Bagi pihak Mohd Nor pula, andainya waktu itu Wook ada di sisi,
panggilan hormat yang sesuai digunakan tentulah moyang.
Walau apa pun yang berlaku, pada awal tahun 2005
ketika berusia 34 tahun, Mohd Nor menginterpretasikan
jiwa besar seorang lelaki dengan mengahwini Wook
yang ketika itu berusia 103 tahun.

Atas alasan mencari keredaan Allah dengan mengabdikan
diri kepada wanita itu, Mohd Nor membuang jauh ke tepi
segala pandangan yang tidak selari dengan niat
murninya mengahwini Wook.

Beliau meneguhkan keyakinan dalam diri dan tetap percaya
bahawa beliau sudah pun membuat keputusan
yang terbaik di dalam hidupnya.
Sesuatu perkara yang luar biasa tetap ditanggap 'biasa'
oleh kebanyakan individu walaupun perkara itu
dibolehkan oleh agama, malah ada hikmah tersendiri.

Apabila kehilangan asas untuk menolak keyakinan
bahawa pasangan itu sememangnya sudah berkahwin
dan berhak tinggal serumah, timbul pula persoalan keserasian.



Fakta itu dijadikan alasan penolakan pihak tertentu untuk
percaya kepada hakikat bahawa dua insan ini
mampu berkongsi hidup.

Kepercayaan itu dihujahkan oleh fakta wujudnya kontradiksi
dari segi budaya hidup atau 'world view' yang memungkinkan
segala-galanya menjadi sukar.

Daripada sebesar-besar dan sejelas-jelas perkara kepada
sekecil-kecil dan sesulit-sulit perkara, mereka membuat perbandingan.

Ini termasuk dalam persoalan yang dilemparkan oleh pihak tertentu
tentang bagaimana Mohd Nor 'menerima layanan' Wook
sebagai isteri di tempat tidur dan apakah
wujud 'kepuasan' dalam hal tersebut.

Atas sebab itulah, Mohd Nor dikatakan tidak mampu bertahan lama.
Dengan kepercayaan kononnya Wook tentu melihat baki
hidupnya secara sempit, tentunya Mohd Nor tidak akan
terus sanggup untuk berbakti kepada wanita itu.

Dalam pertemuan eksklusif dengan Kosmo! di rumahnya
baru-baru ini, lelaki berjiwa besar itu bagaimanapun tidak
cepat melatah dengan pandangan negatif dan liar ke atas mereka.

Beliau yang berasal dari pedalaman Tanah Merah, Kelantan
dan berkelana di situ sejak empat tahun lalu mengakui
sudah 'masak' dengan situasi demikian.

Pernah katanya, mereka dikatakan sudah bercerai baru-baru ini.
Malah tersebar desas-desus kononnya mereka tidak lagi tinggal
serumah hampir setengah tahun lalu.

Beliau yang menafikan semua tohmahan dan khabar angin itu
mengakui hakikat bahawa peritnya menghadapi kehidupan
jika seseorang itu bertindak di luar kebiasaan.

"Memang semua ini luar biasa. Saya memilih semua ini.
Apabila saya membuat sesuatu pilihan, saya tidak berundur lagi.

"Mungkin orang melihat saya tidak berpelajaran. Betul, saya tidak
ada sijil peperiksaan yang hebat, bersekolah pun tidak tinggi.

"Kalau itulah ukurannya, memang saya tidak ada harga
diri dalam masyarakat, tetapi jangan lupa bahawa
kehidupan juga satu penilaian kehidupan.

"Hari-hari yang kita lalui juga adalah salah satu daripada
jenis persekolahan dan kadang kala di situlah kita mampu
belajar dengan lebih bijaksana," katanya.

Bertubuh sasa, mungkin kerana rutin hidupnya bekerja
mengerah tenaga yang banyak, selain 'kebal' dengan
pelbagai jenis cuaca, Mohd Nor percaya apa
yang dilakukan ini adalah betul.


Katanya, sepanjang tiga tahun beristerikan Wook, dia mampu
mengecapi nikmat hidup sama ada dari aspek jasmani mahupun rohani.

Jelasnya, Wook yang sudah pun berpengalaman mendirikan
rumah tangga sebanyak 21 kali sebelum berkahwin dengannya
ternyata tidak mengecewakannya.

Menurutnya, Wook mempunyai keistimewaan daripada
kedua-dua aspek itu, malah pintar dan 'perkasa'
menjaga tanggungjawab 'di tempat tidur'.

Lelaki budiman ini mendakwa, Wook meneruskan amalannya
iaitu mengurut tubuh sendiri setiap awal pagi dan selepas
solat Isyak untuk memastikan dirinya terus sihat.

Katanya, isterinya juga sering mengingatkannya agar turut
mengurut tubuh sendiri dan mengamalkan
petua tertentu dalam kehidupan.

"Isteri saya pantang minum minuman sejuk, sebaliknya suka
minum air masak atau Milo O panas atau teh O suam
walaupun pada waktu cuaca terik.

"Dia tidak suka makan nasi berlaukkan gulai yang menggunakan
santan dan sekarang semua itu, saya pula amalkannya," katanya.

Sementara itu, Wook yang pada asalnya mendiamkan diri
tetapi lama kelamaan menjadi peramah mengakui dia
sudah 'masak' dengan asam garam kehidupan.

Katanya, pandangan serong dan cakap-cakap yang tidak
enak didengar sudah pun dihadapinya sejak puluhan tahun
lalu bersama suami terdahulu.

"Kalau semua cakap orang tak enak, kita ambil pusing,
tak boleh buat kerja kita jadinya. Hari ini berbalah dengan
orang itu, esok pula dengan orang ini.

"Sampai bila kita nak terus buang masa?," katanya yang masih
mempunyai pendengaran yang jelas serta pertuturan yang baik.

Walaupun sudah lanjut usia, beliau berkebolehan menggunakan
laras bahasa komunikasi terkini dan tidak terikat
dengan dialek atau bahasa daerah.


Wook yang memiliki fizikal kecil molek dan berkulit cerah
turut gemar berpakaian kemas serta pandai
mencetuskan suasana kecindan (kelakar).

Menceritakan rahsia urut tubuhnya, wanita umpama
'primadona desa generasi lama' itu berkata, semua itu
diwarisi daripada keturunannya.
Beliau berkata, amalannya tidak menyalahi ajaran agama.

Menceritakan permulaan peristiwa hingga membawa
kepada berputiknya 'cinta luar biasa' mereka, Wook
berkata, Mohd Nor menyewa rumah kecilnya empat tahun yang lalu.

"Masa itu, dia datang dengan kawan, cari rumah sewa.
Dia kerja buat rumah batu dan bangunan,
kira ambil upah jadi buruh kasarlah.

"Kebetulannya, saya ada dua buah rumah, satu yang
besar tetapi dah buruk sikit, satu lagi yang kecil tapi
agak baru jugalah. Dia duduk seorang.

"Saya perhatikan Mohd Nor pemuda yang baik,
rajin dan hormat orang tua. Saya ambil dia jadi anak angkat.
Lepas tu, dia selalu datang tolong saya.

"Kerana kami bukan muhrim, saya takut timbul fitnah,
maka saya panggil Mohd Nor, cadang untuk kahwin dengannya.
Dia minta sikit masa. Saya setuju.

"Tak sampai sebulan, dia kata dia setuju. Kami pun kahwin,
tapi buat majlis ringkas. Mak dan ayah Mohd Nor baik dan hormat saya.

"Mereka pun datang pada hari kami kahwin.
Tak timbul soal keluarga tak setuju.
Kalau ada yang cakap juga, itu jelas fitnah," katanya.

Dari sisi yang lain pula, Wook memperlihatkan sikapnya
yang rasional menghadapi kemungkinan hidup bersuamikan
Mohd Nor yang jauh lebih muda.

Beliau berterus-terang dengan berkata bahawa hatinya
dapat menghidu bahawa ada wanita lain meminati suaminya,
namun itu tidak menjejaskan rumah tangganya.

Yang menariknya, Wook menyatakan kesediaannya bermadu
jika suaminya mahu berkahwin lain, malah sanggup
meminang wanita tersebut.

Katanya, dia sedia berusaha mengumpul wang hantaran
perkahwinan itu nanti, namun meminta perkara itu
tidak dirahsiakan daripadanya.

"Jangan buat macam pasangan muda. Kahwin sekejap, cerai.
Ada masalah sikit, cerai. Jumpa orang lain, cerai. Itu tak baik.
Saya tak nak macam itu.

"Kalau boleh, saya nak masyarakat kita menghargai
ikatan suami isteri. Hubungan ini amanah Allah.
Jangan khianat, berdosa nanti," katanya.

10 comments:

  1. ini lah namanya jodoh ye tak

    ReplyDelete
  2. ye betul tu PeminatJutawan...jodoh, ajal & maut semua di tangan Allah..

    ReplyDelete
  3. ujie..cinta tu memang indah untuk org yg tau menilai nye ;-)

    ReplyDelete
  4. cinta itu buta dan tak mengenal usia.. jelaslah mereka berkahwin bukan atas dasar nafsu.. tak macam muda mudi sekarang ni..

    ReplyDelete
  5. Betul tu nur...
    cinta sejati sukar di cari

    ReplyDelete
  6. salam kenal...

    cantik blog ni!seronok tengok foto boleh pusing2! :)

    ReplyDelete
  7. Salam persaudaraan.

    I likeee......

    Jemput dtg rumah saya eh. Saya dah tinggalkan jejak nih....hehehehe

    ReplyDelete
  8. Salam Erisya...
    Thanks for the compliment

    ReplyDelete
  9. hi yani
    nnt sy jenguk umah yani ye ;-)

    ReplyDelete